Tuesday, 26 August 2014

SILAH FORMAL – Konsep Pengabdian yang menyeleweng

Golongan MILLAH ABRAHAM telah mengeluarkan beberapa penulisan di dalam menyampaikan dakwah tentang ajaran Rasul palsu Ahmad Musadeq yang berasal daripada Indonesia. Antara penulisan mereka adalah sebuah buku kecil yang diberi tajuk Modul TLWH MK. Buku kecil ini antara lain  merupakan panduan bagaimana ahli-ahli MILLAH ABRAHAM berdakwah  kepada masyarakat umum. Istilah yang mereka gunakan bagi mangsa yang cuba diselewengkan adalah “prospek”. Ini adalah istilah yang sangat tidak Islamik dan lebih cenderung kepada pendekatan MULTI LEVEL MARKETING. Kita rujuk tajuk pertama di dalam buku kecil ini yang diberi tajuk SILAH FORMAL. Di bawah tajuk ini, golongan MILLAH ABRAHAM memulakan perbincangan agama mereka dengan memberi nasihat ;

Mulakan dengan membicarakan perkara yang common. Tanya prospek apa tujuan penciptaan manusia atas muka bumi. 51/56 - “tidak aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdi”.

Di sini kita perhatikan, perbincangan dirujuk terus kepada ayat Quran surah Az Zariyat 51 ayat 56 – Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada ku. Buat permulaan, cara ayat Quran dirujuk tidak menampakkan hormat golongan ini kepada kalam Allah. Ayat-ayat Quran dirujuk tanpa menulis nama surah. Ayat-ayat Quran diturunkan martabat dengan dirujuk nombor surah dan ayat-ayat. Inikah cara penghormatan kepada kalam ALLAH yang diturunkan kepada seorang Nabi yang dimuliakan sebagai RAHMATAN-LIL-ALAMIN ?

Sejurus selepas merujuk kepada ayat Quran surah Az Zariyat 51 ayat 56, maka golongan MILLAH ABRAHAM ini meneruskan perbincangan dengan kenyataan menyelewengkan sepertimana yang dilakukan oleh Syaitan semasa membisikkan fikiran jahat kepada Nabi Adam a.s dan isterinya. Mereka memberi tafsiran yang tidak terdapat langsung dalam makna ayat Quran surah Az Zariyat 51 ayat 56.

Ada 2 perkara yang berkaitan dengan ayat ini iaitu bentuk pengabdian dan cara mengabdi. Sekiranya TYME (Tuhan Yang Maha Esa) Tuhan yang satu maka ada berapa bentuk pengabdian dan cara mengabdi ? Seharusnya ada satu sahaja. Melihat kondisi hari ini dunia mempunyai banyak bentuk pengabdian dan cara mengabdi dan masing-masing merasakan pengabdian masing-masing yang paling benar.

Tujuan golongan MILLAH ABRAHAM guna Quran surah Az Zariyat 51 ayat 56 adalah bagi menimbulkan keraguan atau was-was. Dengan satu ungkapan yang bersahaja, satu persoalan ditimbulkan yang tidak ada dalam pengertian Quran surah Az Zariyat 51 ayat 56 sama sekali. Persoalan yang perlu kita tanya balik adalah, betulkah ajaran ini walaupun merujuk kepada Quran surah Az Zariyat 51 ayat 56 ?
Memang benar tujuan Allah menciptakan manusia dan jin semata-semata agar kedua-dua jenis makhluk Allah ini beribadah kepadanya. Tetapi tidak ada di dalam pengertian di dalam ayat ini manusia dan jin DIHARUSKAN beribadah kepada ALLAH dalam 1 bentuk pengabdian dan 1 cara mengabdi. Tujuan kenyatan menyeleweng ini diadakan adalah bagi menimbulkan keraguan supaya dapat dilihat bahawa makhluk Allah telah mengadakan pelbagai bentuk pengabdian dan cara mengabdi dan dapatlah dibuktikan bahawa kehadiran golongan MILLAH ABRAHAM adalah untuk membawa manusia kembali kepada 1 bentuk pengabdian dan 1 cara mengabdi. Disini tidak pula disebut bagaimana Rasul palsu Ahmad Musadeq mahu berdakwah kepada golongan jin dengan ajaran MILLAH ABRAHAM supaya mereka juga  bersama-sama manusia kembali kepada 1 bentuk pengabdian dan 1 cara mengabdi ? (Rujuk - AL-Quran - Surah Al-Jinn (72)...)

Di dalam AL-Quran, tidak ada konsep SILAH FORMAL yang diada-adakan oleh golongan MILLAH ABRAHAM. Memang benar Allah mahu semua hamba-hambanya beribadah kepadaNya tetapi pada masa yang sama ibadah yang Allah kehendaki dari hamba-hambanya tidak kira manusia atau jin adalah dalam keadaan penuh KEIKHLASAN.

AL-Quran – Surah Al Baqarah (2) ayat 139
Katakanlah (Muhammad), “Apakah kamu hendak berdebat dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalan kamu , dan hanya kepadaNya kami dengan IKHLAS MENGABDIKAN DIRI (mukhlassun).

Al-Quran – Surah Az-Zumar (39) ayat 11 – 15
Katakanlah (Muhammad), “Sesungguhnya aku diperintahkan agar BERIBADAH dengan penuh KEIKHLASAN (mukhlissan) kepada-Nya dalam DEEN (agama). Dan aku diperintahkan agar menjadi orang yang pertama-tama MUSLIM (berserah diri). Katakanlah (Muhammad), “Sesungguhnya aku takut akan azab pada hari yang besar jika aku derhaka kepada Tuhanku. Katakanlah (Muhammad) “Hanya Allah yang aku ABDIKAN diri dengan penuh KEIKHLASAN (mukhlissan) kepada-Nya dalam DEEN (agama). Maka SEMBAHLAH SELAIN DIA SESUKAMU ! Katakanlah, ”Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari Qiyamat. Ingatlah ! Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.

Dua ayat di atas jelas bahawasanya Allah mengkehendaki bukan sahaja manusia dan jin BERIBADAH atau MENGABDIKAN diri kepadaNYA tetapi PENGABDIAN perlu disertai dengan KEIKHLASAN dalam DEEN. Keikhlasan pula pada masa yang sama adalah dari sifat RAHMAH ALLAH yang memberi izin kepada manusia dan jin untuk MENGABDIKAN diri tanpa paksaan. Inilah intipati mukhlissin yakni orang-orang yang ikhlas. Allah juga walaupun di dalam kemurkaan membenarkan manusia dan jin untuk menyembah selain ALLAH di dunia ini tetapi kerugian kepada golongan ini hanya akan dirasai di akhirat kelak pada hari Qiyamat. 

 Allah izinkan manusia untuk BERIMAN atau KUFUR
Memang benar tujuan manusia dan jin dicipta Allah semata-mata untuk beribadah kepadaNya. Nabi-nabi dan rasul-rasul diutus oleh Allah sebagai pemberi peringatan kepada manusia sejagat. Namun apakah tanggung-jawab nabi-nabi dan rasul-rasul terhadap umatnya. Adakah nabi-nabi dan rasul-rasul dipertanggung-jawabkan jika ada manusia atau jin yang tidak mahu beriman kepada Allah. Maka disini, AL-Quran menerangkan dengan jelas akan tanggung-jawab nabi-nabi, rasul-rasul, orang-orang mukmin dan muslim tentang mereka yang enggan beriman kepada Allah.

Rujuk – AL-Quran-Surah Al Kafirun (109) ayat 1 – 6
Katakanlah (Muhammad), “ Wahai orang-orang kafir ! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Kamu bukan penyembah apa yang aku sembah dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak pernah menjadi penyembah apa yang aku sembah. UNTUKMU AGAMAMU DAN UNTUKKU AGAMAKU.

Al-Quran memberi izin melalui firman dalam surah Al-Kafirun (109) bagi bersetuju untuk tidak bersetuju. Ini adalah ajaran yang sangat liberal yang dianjurkan Quran manakala fahaman MILLAH ABRAHAM adalah ajaran diktator yang mahukan manusia mengamalkan 1 bentuk pengabdian dan 1 cara mengabdi. Ayat Quran surah Az Zariyat 51 ayat 56, diselewengkan bagi tujuan mengesahkan ajaran bahwa Tuhan Yang Maha Esa, perlu kepada 1 bentuk pengabdian dan 1 cara mengabdi. Setelah itu golongan ini menimbulkan persoalan bahawasanya terdapat pelbagai bentuk agama yang mempraktikkan pelbagai cara pengabdian kepada Tuhan yang satu. 

Maka dari situ mereka membuat kesimpulan keadaan sekarang bukanlah keadaan yang diredhai Allah. Jika kita kaji kembali sejarah Islam di zaman Rasullulah s.a.w, maka kita akan dapati keadaan dunia ketika zaman Nabi kita juga terdapat pelbagai jenis agama di seluruh dunia. Rasullulah s.a.w tidak memaksa orang-orang bukan Islam menerima ajaran Islam. Malah pada zaman Khulafa Ar-Rashidun ( Saidina Abu Bakar , Umar, Uthman dan Ali (r.a ajmain) kita dapati, jika ada golongan di negara-negara yang ditawan oleh tentera Mujahideen Islam, orang-orang yang tidak mahu menganut agama Islam dibenarkan mengamalkan agama mereka dan mereka hanya disuruh membayar cukai jizyah. Inilah bukti bahawa tidak ada ajaran dalam Islam yang berusaha untuk memastikan secara langsung atau tidak langsung seluruh manusia mengabdikan diri dalam 1 cara pengabdian dan 1 bentuk pengabdian kepada Allah semata-mata.

Rujuk –
AL-Quran – Surah Al Kahf (18) ayat 6
Maka janganlah engkau (Muhammad) mencelakakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (AL-Quran).

AL-Quran – Surah Al Kahf (18) ayat 29
Dan katakanlah (Muhammad), “Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu, barang siapa yang hendak BERIMAN maka BERIMAN dan barang siap yang hendak KUFUR maka KUFUR.

AL-Quran – Surah AL-Maidah (5) ayat 99
Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah MENYAMPAIKAN dan Allah mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.

Beberapa ayat-ayat dari Al-Quran diatas dengan jelas menerangkan dengan konsisten bahawasanya, ISLAM adalah ajaran tanpa paksaan. Seluruh kemanusiaan dan jin diseru beriman dan beribadah kepada Allah dengan ikhlas. Malah Nabi dan Rasul tidak dipertanggungjawabkan bagi memastikan manusia beriman dan beribadah kepada Allah. Allah izinkan manusia memilih antara KEIMANAN atau KEKUFURAN.

Rujuk - AL-Quran – Surah Az-Zariyat (51) ayat 54-55
Maka berpalinglah engkau daripada mereka (orang yang tidak mempercayai Rasul) dan engkau sekali tidak TERCELA. Dan berilah PERINGATAN, kerana sesungguhnya PERINGATAN itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin.

Dua ayat di atas yang menerangkan dengan jelas bahawa orang-orang beriman diminta agar berpaling daripada mereka yang tidak mempercayai RASUL dan mereka tidak tercela jika mereka berpaling dan sesungguhnya tanggung-jawab orang-orang yang menyeru manusia pada jalan Allah adalah sebagai pemberi peringatan dan tanggungan pada RASUL dan NABI juga adalah sebagai pemberi peringatan.

Rujuk - AL-Quran – Surah Al-Baqarah (2) ayat 256
Tiada PAKSAAN DALAM AGAMA, sesungguhnya telah jelas antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Barang siapa yang ingkar kepada Thaghut (Syaitan dan semua yang disembah selain Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya, dia telah berpegang kepada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment