Wednesday, 27 August 2014

Penganut Ajaran MILLAH ABRAHAM - TIDAK SOLAT !



Dalam  beberapa sessi antara  BLOGGER  dengan  pengikut-pengikut  MILLAH  ABRAHAM, isu  SOLAT  pasti  menjadi  satu  persoalan  yang  dibincangkan  dengan  hangat. Jelas  bahwa  anutan  MILLAH  ABRAHAM,  tidak  mengamalkan  SOLAT  LIMA  WAKTU.  Tetapi  yang  peliknya,  golongan  ini  akan  memetik  beberapa  ayat  Quran  bagi  memberi  justifikasi  amalan  tidak  berSOLAT  mereka  ini.  Ajaran tidak  bersolat  ini  adalah  hasil  penyelewengan  yang  di reka  dan  di olah  oleh  Rasul  palsu  Ahmad  Musadeq  yang  mengajar  pengikut-pengikut  untuk  tidak  bersolat. Pelbagai  alasan  diberikan  apabila  di tanya  tentang  solat. Persoalan  ini kita  bincang  dan  beri  penjelasan  dan  hujah-hujah  yang  di sokong  dengan  ayat-ayat  Quran  yang menjelas  dengan terang  bahawa  SOLAT  adalah  amalan  para  anbiya  dan  orang-orang beriman  dari  zaman  dahulu  hingga sekarang. SOLAT  adalah  ibadah  yang  membezakan  antara  mereka  yang  IKUT  MILAH  IBRAHIM  yang  sebenar , membezakan MUSLIM  dan KAFIR dan juga  adalah  amalan  ibadah  manusia  yang lengkap  dan  unik khusus bagi  MUSLIM  yang  beriman  kepada Allah  dan Rasul-RasulNya. 

Jika di tanya  pengikut-pengikut MILLAH  ABRAHAM  apa dalil  yang  membuat  mereka  TIDAK  BERSOLAT  maka  jawapan  yang  diberi  adalah  mereka  mempunyai  takrifan  yang  berlainan  tentang  SOLAT.  Mereka  merujuk  ayat  Surah Al-Ankabut (29) ayat 45 ;

Bacalah Kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu (Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya  SOLAT  ITU  MENCEGAH  DARI (perbuatan) keji  dan  mungkar. Dan (ketahuilah) mengingat  Allah itu  lebih  besar. Allah  mengetahui  apa yang  kamu  kerjakan.
Ayat  ini  dirujuk  kemudian  mereka  membuat  satu  kesimpulan  bahawa  SOLAT  itu  sebenarnya  adalah  BERBUAT  KEBAIKKAN. Jika  kita  baca  dan  fahami  ayat  di  atas,  tidak  ada  pengertian  bahawa  SOLAT ITU  BERBUAT  KEBAIKAN. Dalam  bahasa  Arab – INNA  SOLATA, TANHA  ANIL  FAHSYA  IWAL  MUNGKAR.  Ayat  ini  dengan  jelas, menerangkan ; SESUNGGUHNYA  SOLAT  ITU  MENCEGAH…. dan ini  memang  berbeza  dengan  takrifan SOLAT  ITU  BERBUAT  KEBAIKKAN.  Ini  adalah  penyelewengan  yang  amat  jelas.  

Ibadah  solat  adalah  unik  bagi  orang-orang  yang  menyerah  diri  kepada  Allah. Ia  adalah  makanan  kerohanian  yang  menguatkan  NAFS  manusia  yang  senantiasa  di cemari  dengan  bisikan  syaitan  dan  pengaruh  pemikiran  jahat. Kerohanian  manusia  diberi  perhatian  mendalam  di dalam  Al-Quran. Islam  sebenarnya  adalah  pendidikan  yang  rapat  dengan  kerohanian. Hati  manusia  adalah  tempat  di jasad rohani  yang boleh  menjadi  penyakit  jika  tiada  amalan  ibadah  yang  membersihkan  hati  tersebut  daripada  penyakit  kerohanian. Allah  menjelaskan  bahawa  hati  dalam  rohani  manusia  yang  dinamakan  QALBU  dalam  bahasa  Arab boleh  dicemari  dan  berpenyakit.

Rujuk – Al-Quran : Surah Al-Hajj (22)  ayat  53
Dia  (Allah)  ingin  menjadikan  godaan  yang  ditimbulkan  SYAITAN  itu  sebagai  cobaan bagi  ORANG-ORANG YANG  DALAM  HATINYA  ADA  PENYAKIT  DAN  ORANG  YANG  BERHATI  KERAS.

Hati-hati  manusia  perlu  kepada  pendidikan  yang  rapat  dengan  kerohanian  melalui  cara  ibadah  dan  SOLAT  adalah  antara  ibadah  yang  dapat  melatih  hati-hati  manusia  untuk  bertaubat  dan  bagi  memastikan  hati  sentiasa  bertaubat  maka  SOLAT  amat  perlu  bagi  MENCEGAH  DARI (perbuatan) keji  dan  mungkar.

Quran : Surah  Qaf – (50)  ayat  33
(iaitu)  orang-orang  yang  takut  kepada  Allah  Yang  Maha  Pengasih, sekalipun  dalam keadaan  tidak  nampak  (ghaib), dan  dia  datang  dengan  HATI  YANG  BERTAUBAT.
Jika  ditakrikan  SOLAT  sebagai  membuat  kebaikkan  maka  kenapa  perlu  berwudhu  jika  SOLAT  itu  tidak  berbentuk  dan  hanya  sekadar  mmbuat  kebaikkan. Sekali lagi  kita  rujuk  kepada  ayat  Surah  Al  Maidah (5)  ayat  6.

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak berdiri mengerjakan solat, maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
Jika  solat  itu  hanya  sekadar  berbuat  kebaikkan, maka  apa  perlunya  Allah  jelaskan urusan  mendapatkan  air  untuk  berwudhu  dan  - jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Semua  ayat-ayat  ini  begitu  detail  menerangkan  tentang  SOLAT  yang  Allah  guna  WAIZA  QUMTUM  ILLA  SOLAT – Apabila  kamu  BERDIRI  UNTUK  SOLAT…..maka  di sini  jelas  SOLAT  itu  merupakan  satu  perbuatan  yang  melibatkan usaha  FIZIKAL  untuk  berdiri.  Kita  kukuhkan  hujah  ini  dengan  satu  lagi  ayat  Quran  dalam  surah  An-Nisa  (4)  ayat  142   yang  membuktikan  lagi  sesungguhnya  SOLAT  adalah  IBADAH  yang  melibatkan  jasad  jasmani  dan  rohani. 
Sesungguhnya  orang  munafik  itu  hendak  menipu  Allah  tetapi  Allah  kembalikan  penipuan  itu  kepada  mereka.  Apabila  mereka  BERDIRI  UNTUK  SOLAT  MEREKA  LAKUKAN  DENGAN  MALAS. Mereka  bermaksud  ria  di  hadapan  manusia  dan  mereka  tidak  mengingati  Allah  kecuali  sedikit.

Jelas  dari  ayat-ayat  di  atas, solat  bukan  sekadar  berbuat  kebaikan.

Sila  rujuk  AL-Quran – Surah  Al-Baqarah  (2)  ayat  177
Kebajikan  itu  bukanlah  menghadapkan  wajahmu  kearah  timur  dan  ke barat, tetapi  kebajikan  itu  ialah  orang-orang  yang  beriman  kepada  Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab dan nabi-nabi  dan  memberikan  harta  yang  dicintainya  kepada  kerabat, anak  yatim, orang-orang miskin, orang-orang  yang  dalam  perjalanan, peminta-peminta  dan  untuk  memerdekakan  hamba sahaya, yang mendirikan  solat  dan  menunaikan  zakat, orang-orang  yang menepati  janji  apabila  berjanji, dan  orang  yang  sabar  dalam  kemelaratan, penderitaan  dan  pada  masa  peperangan.  Mereka  itulah  orang-orang yang  bertakwa.

Memberikan  harta  dan  bersedekah  adalah  antara  perbuatan  baik  begitu  juga  dengan  bersabar dalam  keadaan susah.  Dalam  ayat  ini, SOLAT  disebut  bersama-sama  perbuatan-perbuatan  baik  yang  lain. 
Hujah  yang  seterusnya, menerangkan bahawa  semua  Nabi-Nabi  dan  Rasul-rasul  Allah  diwahyukan  ALLAH  untuk  mendirikan  SOLAT.  SOLAT  adalah  ibadah  warisan  yang  diajar  oleh  Allah  kepada  semua  Rasul-rasul  dan  Nabi-nabi.  Tetapi  ada  satu  ayat  dalam Quran  yang begitu  khusus  memisahkan  perbuatan  baik  dan  solat. Kebetulan  ayat  ini  juga  menerangkan  Allah  wahyukan  Rasul-rasul  dan  nabi-nabi  untuk  mendirikan  SOLAT. Dalam  bahasa  Arab  - BERBUAT  KEBAIKAN  yang  diguna  dalam  ayat  ini  adalah  FIQLA  KHAIRAT.

Rujuk – AL-Quran : Surah  Al-Anbiya (21) ayat 73
Dan  kami  jadikan  mereka   (keturunan  Ibrahim)  itu  sebagai  pemimpin-pemimpin  yang  memberi  petunjuk  dengan  perintah  Kami dan  Kami  wahyukan  kepada  mereka  agar  BERBUAT  KEBAIKAN,  MENDIRIKAN  SOLAT  dan  menunaikan  zakat   dan hanya  kepada  Kami  mereka  meyembah.

Bagi  mematahkan  hujah-hujah  golongan  MILLAH  ABRAHAM, sebagai MUSLIM, kita perlu  merujuk  kembali  kepada  seluruh  isi  kandungan  AL-QURAN  jika  berbincang  sesuatu  hal  tanpa  hanya  bergantung  kepada  beberapa  ayat  sahaja. Golongan  yang  mengamalkan  ajaran  sesat  acapkali  hanya  akan memetik  satu  atau  dua  ayat  dari  Al-Quran  atau  lain-lain sumber  Islam  bagi  menyokong  hujah-hujah  batil  mereka. Pendekatan  terbaik  adalah  dengan  mencari  semua  ayat-ayat  dalam Quran  berkenaan hal  yang  dibincangkan  dan  memahami  dalam konteks  keseluruhan  ayat-ayat  Quran  tentang  subjek  tersebut.  Bagi  perbincangan  isu  MILLAH  ABRAHAM  kita  tidak  merujuk  kepada  HADIS-HADIS  SAHIH  kerana  golongan  MILLAH  ABRAHAM  tidak  percaya  kepada  HADIS-HADIS  SAHIH. Jadi  bagi  menjelaskan  isu  yang  dibangkitkan  golongan ini, maka  hujah-hujah balas  dihadkan kepada  merujuk   ayat-ayat  Quran  sahaja.

Jika  golongan MILLAH  ABRAHAM  berkeras  mempertahankan  pandangan  mereka bahawa  SOLAT  bagi  mereka  adalah  BERBUAT  KEBAIKAN, maka  ada  beberapa  ayat  lagi  daripada  Quran  yang akan  menyulitkan  lagi  fahaman  mereka  yang menyeleweng  ini.

Tujuan  kita  dalam  perbincangan  ini  adalah  dengan  cuba  memberi  kefahaman  kepada  golongan  MILLAH  ABRAHAM  atau  mana-mana  golongan  ajaran  sesat  lain  yang  cuba  menggunakan  Quran  bagi  menyokong  hujah-hujah  mereka  adalah  mereka  perlu  KONSISTEN  di dalam  mempertahankan  pandangan  mereka  dengan merujuk  ayat-ayat Quran.  Terdapat  banyak  ayat-ayat  dalam  AL-QURAN  yang  saling  kait  mengait  di dalam  menjelaskan  sesuatu  perkara. Dalam  subjek  SOLAT,  terdapat  banyak  ayat-ayat  yang  menerangkan  tentang  pelbagai  aspek  SOLAT.  Malangnya, golongan MILLAH  ABRAHAM  hanya  merujuk  beberapa  ayat  sahaja tanpa  melihat  SOLAT  secara  keseluruhan  di dalam  Quran dan  begitu  juga  dengan  subjek-subjek  lain  yang  golongan  ini  selewengkan.
Ayat  yang  akan  dirujuk  ini  akan  membawa  masaalah  yang  besar  kepada  golongan  MILLAH  ABRAHAM  yang  cuba  mempertahankan  pendapat  bahawa  SOLAT  itu  BERBUAT  KEBAIKKAN   yang  tidak  melibatkan  gerakan  jasmani  yang  melambangkan  pengabdian  seorang  hamba  kepada  Penciptanya.  Ayat  dibawah  akan  menghancurkan  premis  fahaman  yang  cuba  dibawa  oleh  golongan  MILLAH  ABRAHAM. 

Rujuk  : AL-QURAN – Surah  An-Nisa (4)  ayat  101 – 103)
Dan  apabila  kamu  bermusafir  di  bumi  maka  tidak  berdosa  bagimu  MEMENDEK-KAN  SOLAT  jika  kamu  takut  diserang  oleh  orang  kafir.  Sesungguhnya  orang  kafir  itu  adalah  musuh  yang  nyata  bagimu.  Dan  apabila  engkau (Muhammad)  berada  di  tengah-tengah  mereka  lalu  engkau  hendak  MENDIRIKAN  SOLAT  bersama-sama  mereka, maka  hendaklah  segolongan  daripada  mereka  berdiri bersama  denganmu  dan  menyandang  senjata  mereka  kemudian  apabila  mereka  (selesai)  SUJUD  maka  hendaklah  mereka  pindah  dari  belakangmu  dan  hendaklah  datang  golongan  yang  lain  yang  BELUM  SOLAT, lalu  mereka  SOLAT  BERSAMAMU  dan  hendaklah  mereka  berwaspada  dengan  senjata-senjata  mereka. Orang-orang  kafir  beringinkan  kamu  lengah  daripada  senjata-senjata  kamu  dan  barang-barang  kamu   lalu    mereka  akan  menyerbu  kamu  sekali  gus.  Dan  tidaklah  bersalah  ke  atas  kamu  jika  kamu  dalam  gangguan  daripada  hujan,  atau  kamu  sakit,  untuk  meletakkan  senjata-senjata  kamu, tetapi  berwaspadalah  kamu.  Allah  menyediakan  kepada  orang-orang  kafir, azab  yang  menghinakan. Apabila  kamu  SELESAI   MELAKSANAKAN  SOLAT, ingatlah  kepada  Allah, berdiri, duduk  atau  berbaring. Kemudian  apabila  kamu  tenteram, DIRIKANLAH  SOLAT, sesungguhnya  SOLAT  ITU  TELAH  DITENTUKAN  WAKTUNYA  
BAGI  ORANG-ORANG  YANG  BERIMAN.     

Kita  ubah  perbincangan  kepada  perspektif  yang  lain  dimana  sebelum  zaman  Nabi  Muhammad  s.a.w  para  anbiya  diwahyukan  Allah  untuk  melaksanakan  solat.  Telah  dikitabkan  di dalam  AL-QURAN  bahawa  tiba  suatu  masa, manusia  ABAIKAN dan   MENINGGALKAN  SOLAT.  Mustahil  jika  solat  bermakna  BERBUAT  BAIK,  bagaimana  manusia  boleh  ABAI   dan  terus  MENINGGALKAN   berbuat  kebaikan. 

Rujuk  : AL-QURAN – Surah  Maryam (19) ayat  59
Kemudian  datanglah  selepas  mereka  (keturunan  Adam, Nuh, Ibrahim  dan  Israil) pengganti  yang  MENGABAIKAN  SOLAT  dan  mengikut  hawa  nafsu  mereka   maka    mereka  kelak  akan  sesat.

Golongan  MILLAH  ABRAHAM  mengolah  satu  ajaran  yang  di campur  adukkan  antara  QURAN  dan  BIBLE.  Mereka hanya  merujuk  ayat-ayat  tertentu  dan  diselewengkan  terjemahan  serta  tafsiran  ayat  tersebut  lalu  dicampur  dengan  rujukan  kepada  BIBLE  bagi  mengadakan  satu  ajaran  yang  konon-nya  mahu  kembali  kepada  ajaran Nabi  Allah  Ibrahim  a.s. Sudah  termaktub  di dalam Islam  yang  dibawa oleh  Nabi Muhammad  s.a.w  akan  ajaran  MILAT  IBRAHIM  sebagaimana  diterangkan di dalam AL Quran  antara  lain  ayat  Surah  Al-Ana’am (6)  ayat  74 – 79.

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".  Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".

Antara  ajaran  MILAT  IBRAHIM  yang  dirakamkan  di dalam Al-Quran  ialah – 
Surah Al-Hajj (22) ayat 26 – 38

Dan  apabila  KAMI  tempatkan  Ibrahim  di  Baitullah, “Jangan  kamu  menyekutukan  Aku  dengan  sesuatu. Dan kamu bersihkanlah  Baitullah  untuk  orang-orang  yang  tawaf, dan orang-orang yang  berdiri, dan orang-orang  yang  tunduk,  orang-orang yang  sujud.  Dan (Muhammad) serulah  manusia  kepada Haji, dan  mereka  akan  datang  kepada  kamu  berjalan  kaki, dan  diatas  tiap-tiap  haiwan  yang  kurus, mereka  datang  dari  tiap-tiap  lembah  yang  dalam  dan  dari  tempat  yang  jauh.  Agar  mereka  menyaksikan  berbagai  manfaat  untuk  mereka  dan  agar  mereka  menyebut  nama  Allah  pada  beberapa  hari  yang  telah  ditentukan atas  rezeki  yang  Dia  berikan  kepada  mereka  berupa  haiwan  ternak. Maka  makanlah  sebahagian darinya  dan  berikanlah  untuk  dimakan  orang-orang yang  sengsara  dan fakir.  Kemudian, hendaklah  mereka  menghilangkan  kotoran  mereka, menyempurnakan  nazar-nazar  mereka  dan  melakukan  tawaf  sekeliling  BAITUL  ATIQ.

Demikianlah  (perintah Allah). Dan barang siapa  mengagungkan  apa  yang  terhormat  di  sisi Allah  (hurimat) maka  itu  lebih  baginya  di  sisi  Allah. Dan  dihalalkan  bagi  kamu  semua  haiwan  ternak, kecuali  yang  diterangkan  kepadamu, maka  jauhilah  berhala-berhala  yang  najis  itu  dan  jauhilah  perkataan  dusta. (Beribadahlah) dengan  ikhlas  kepada  Allah, tanpa  mempersekutukan-Nya. Barang siapa mempersekutukan Allah, maka  seakan-akan dia  jatuh  dari  langit  lalu  disambar  oleh  burung  atau  diterbangkan  angin  ke  tempat  yang  jauh. Demikianlah (perintah  Allah). Dan barang  siapa  mengagungkan  syi’ar-syi’ar Allah, maka  sesungguhnya hal  itu  timbul  dari  ketakwaan  hati.

Inilah  antara  intipati  ajaran  MILAT IBRAHIM  yang  diserapkan  ke dalam  ajaran  ISLAM  yang  disempurnakan  di zaman  nubuwwah  Nabi  Muhammad  s.a.w  dan  dikitabkan  di dalam  Al-Quran.

·         Jangan  kamu  menyekutukan  Aku  dengan  sesuatu.
·         Kamu bersihkanlah  Baitullah  untuk  orang-orang  yang  tawaf, dan orang-orang yang  berdiri, dan orang-orang  yang  tunduk,  orang-orang yang  sujud.
·         Serulah  manusia  kepada Haji,
·      Agar  mereka  menyebut  nama  Allah  pada  beberapa  hari  yang  telah  ditentukan atas  rezeki  yang  Dia  berikan  kepada  mereka  berupa  haiwan  ternak.
·         Dan  berikanlah  untuk  dimakan  orang-orang yang  sengsara  dan fakir.
·         Menghilangkan  kotoran  mereka
·         Menyempurnakan  nazar-nazar  mereka   
·          Melakukan  tawaf  sekeliling  BAITUL  ATIQ.
·         (Beribadahlah) dengan  ikhlas  kepada  Allah, tanpa  mempersekutukan-Nya.

Golongan  MILLAH  ABRAHAM  telah  membuat  pembohongan  demi  pembohongan  atas  nama  Allah  demi  menghidupkan  satu  ajaran  yang  tidak  ada  asas  dalam  AL-Quran. Penyelewengan  ayat-ayat  AL-Quran  yang  ketara  telah  membuatkan  golongan  berasa  seolah-olah  mereka  menjumpai  satu  ajaran  baru  yang  tidak  diketahui  oleh  sesiapapun  hingga  mereka  berani  mengakui  keRasulan  sorang  warga  Indonesia  yang  bernama Ahmad  Musadeq.  Inilah satu  pembohongan  dan  usaha  yang  berniat  melenyapkan  cahaya  yang  dibawa  oleh  Islam  melalui  Nabi  Muhammad  s.a.w. Mereka  mengadakan  pembohongan  ini  apabila  diajak  kepada  Islam  yang  sebenar, mereka berpaling  dan berlaku  zalim  dengan  meneruskan  pembohongan  mereka  ini.

Satu  lagi  sebab  mengapa  GOLONGAN  ini  TIDAK  SOLAT adalah  kerana, merujuk  kepada  RASUL mereka, Ahmad  Musadeq, belum  masuk  waktu. Sebagai  Rasul, beliau  INGIN  mengadakan kembali  sejarah  perjuangan  sepertimana  RASULLULLAH s.a.w.  Ini  bermakna  KERASULAN  Ahmad Musadeq  akan  mencontohi  SIRAH Nabi  Muhammad  s.a.w.  Nabi  Muhammad  s.a.w  menerima perintah  untuk SOLAT  selepas  13  tahun berdakwah  di  Makkah.  Di hujung fasa  dakwah  di  Mekah, selepas  peristiwa  Isra Miraj, barulah  diperintahkan  solat. Jadi  Ahmad  Musadeq  akan  menunggu  hingga  13  tahun, barulah beliau  dan  pengikut-pengikut  beliau  akan  BERSOLAT. Ini  adalah  alasan  yang  tidak  masuk akal,  tiada  dalil  dalam  Quran  untuk  hentikan  solat  apabila  hadir  RASUL  yg  baru  dan tidak  ada  dalil  dalam  Quran  tentang  adanya  RASUL  baru  selepas  Nabi  Muhammad  s.a.w. Ini  adalah  ajaran  SYAITAN !

Rujuk  : AL-QURAN – Surah  As-Saff (61) ayat 7 - 9
Dan siapakah  yang  lebih  zalim  daripada  orang  yang  mengada-adakan  kebohongan  terhadap  Allah  padahal  dia  diajak  kepada  Islam ?  Dan  Allah  tidak  memberi  petunjuk  kepada  orang-orang  zalim. Mereka  hendak  memadamkan  cahaya  Allah  dengan  mulut  mereka  tetapi  Allah  menyempurnakan  cahaya-Nya  meskipun  orang-orang  kafir  membencinya. Dialah  yang  mengutus  Rasul-Nya  dengan  membawa  petunjuk  dan  agama  yang  benar, untuk memenangkannya di atas  segala agama  meskipun  orang-orang  musyrik  membencinya.


No comments:

Post a Comment